Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Buat pertama kali, saya mewakili Toko Sinar Maju Sdn Bhd membuat blog ini untuk makluman semua. Melalui laman ini, saya akan cuba sedaya upaya untuk memberi maklumat dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam bidang pembuatan songkok diwarisi dari arwah datuk saya iaitu Haji Ahmad Gundal.
Perihal dalam pembuatan songkok ini tidaklah serumit mana, namun jika tiada kecekalan dan minat yang mendalam untuk membuat songkok maka ia akan menjadi sukar. Pada saya, semua bidang yang kita ceburi jika tidak disertakan minat yang mendalam dan tiada kesungguhan maka tiada keceriaan dalam melaksanakan kerja, hatta sebagai posmen sekalipun. Namun begitu, ada juga disebabkan desakan hidup, seseorang itu boleh berubah dan dapat melaksanakan benda atau perkara baru yang sebelumnya difikirkan mustahil untuk dilakukan.
Kita kembali semula kepada pembuatan songkok yang dihasilkan oleh Syarikat Toko Sinar Maju. Kami mempunyai pengalaman hampir empat puluh tahun dalam menghasilkan songkok secara
custom. Pelanggan kami telah mencakupi pelbagai lapisan masyarakat, bangsa mahupun etnik yang ada di Malaysia ini iaitu di kalangan Kerabat Diraja, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Mahkota, Tengku Rahman, YB, Datuk, Badan berkanun, sekolah, orang asli, bangsa Cina, India, mahupun pelancong luar negara.
Bunyinya nampak hebatkan!!.. Tapi sebenarnya kedai kami tidaklah sehebat yang dijangka. Kami masih kekurangan kakitangan untuk menghasilkan songkok ini. Tidak ramai yang mahu belajar kemahiran membuat songkok ini kerana anggapan orang ramai ianya bermusim.
Namun di sini, saya ingin nyatakan bahawa terdapat peluang pekerjaan bagi suri rumah yang ingin menambah pendapatan keluarga. Syarat pertama, seseorang itu mestilah pandai mengunakan mesin jahit elektrik (kerana kerja dapat dilaksanakan dengan cepat) dan syarat kedua, sekiranya ia mempunyai mesin sendiri, maka ia lebih baik.
Saya akan ajar cara-cara untuk menghasilkan catuan songkok dan mengarung. Upah setiap catuan bergantung kepada jenis catuan yang saya akan ajarkan. Mengarung pula memerlukan kemahiran mengukur dengan tepat. Jika tidak, saiz songkok akan menjadi tidak betul nanti. Sesiapa yang berminat terutama kepada golongan suri rumah, tukang jahit dan golongan yang ingin membuat pendapatan sampingan, boleh terus berhubung dengan saya di talian ini 0129898439 atau datang ke kedai kami di Toko Sinar Maju di Medan Pelancong Jalan Besar Kuantan, Pahang.